Wednesday, September 30, 2009

Banyaknya perkara baru....


Alhamdulillah, hari ini masih ramai lagi kawan-kawan sekerja dulu datang rumah untuk beraya sambil melihat khabar. Yalah setelah tujuh tahun terlalu banyaklah cerita, berita serta perubahan pada keadaan dan rupa, baik pada diri maupun keluarga masing-masing. Melihat pertama kali wajah kawan-kawan setelah sekian lama hampir tidak saya kenali. Rambut dan janggut dah putih. Yang dulu gemuk ada yang dah kurus begitu juga sebaliknya.Ramai juga yang dah bersara dan yang menyedihkan beberapa kawan ada yang sudah meninggal.Semoga dirahmati Allah atas rohnya. Namun ada juga berita gembira bila ada kawan-kawan yang dah berkawin untuk kali ke dua dan ketiga, semoga bersefahaman dalam mentaati perintah Allah,amiiin...


Dari sembangbual dengan kawan-kawan banyak perubahan baru dapat saya serap yang semua ini amat membantu saya untuk segera "waras" ke realiti kehidupan.


Hari ini masih ada reporter datang untuk menemubual kami berdua. Kali ini dari Merdeka Review. Sedikit maklumat dari Laila bahawa Merdeka Review adalah web berita bahasa Cina yang amat popular dikalangan bangsa cina. Kini sudah ada edisi berita dalam bahasa Melayu dan wartawan berkenaan pernah buat liputan tentang tahanan isa semasa saya di Kemunting jadi meraikan mereka rasanya adalah wajar.Sesekali terfikir juga saya betapa perihatinnya penerbit berita untuk mendidik masyarakat tentang ISA sampai-sampai melangkaui sempadan bangsa.


Semoga seluruh manusia segera bebas dari ISA.


Haraf maaf belum boleh mula menulis pengalaman saya selama ditahan kerana masih terlalu banyak perkara lama yang perlu saya biasakan dengan yang baru terutama hubungan saya dengan Laila dan Suhaib. Dulu Laila bila ada dirumah lepas mengajar selain kerja rumah masanya diisi dengan rehat. sekarang lepas kerja rumah dia akan cek inboxs lepas tu ngadap komputer,padahal dulu tak pernah sentuh pun.Lepas tu kena urus Suhaib,Alhamdulillah setelah dua minggu balik rumah,dari apa yang saya lihat Suhaib tidaklah banyak kerenah sebab banyak perkara terutama urusan diri sendiri dia buat sendiri. Mungkin tujuh tahun hidup sendiri memandaikan dia. Laila mungkin lega sikit dalam hal ini. Lepas urusan suhaib kena uruskan saya pula ehem...


Antara saya dan Suhaib pula dari hal komunikasi ada sedikit macam kureng.Kadang saya masih bercakap dengannya seolah dia masih umur lapan tahun. Pernah sekali saya ingatkan dia supaya solat rupanya dia lebih dulu siap dari saya. Lapan tahun dulu kalau tak suruh pakai tak buatlah.


Malam tadi pergi makan nasi lemak sebelah bengkel mara, melintas jalan saya pegang tangan dia,dia tengok muka saya dia kata "abah ingat suhaib kecik lagi ke?"


He he...

Perkara-perkara baru nilah yang perlu segera saya serap dan membiasakannya setelah tujuh tahun fikiran saya "dilapukkan" di Kemunting.
Komputer pun satu hal lagi,tujuh tahun entah apa-apa, buat pening kepala aku nak belajar.

Walaubagaimanapun insyaaAllah saya akan berusaha untuk kembali dan dengan sokongan serta doa antum mudah- mudahan dapat menyegerakan kewarasan saya.Saya janji akan cerita.




Monday, September 28, 2009

"Saya budak baru belajar..."

Kelabu asap!!! itulah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan ku kini.Walaupun sudah hampir dua minggu dibebaskan dari dunia kecil Kem Kamunting, aku masih merasakan terlalu banyak perkara yang perlu ku halusi dan pelajari ...Dan yang penting sekali, aku sedang dalam proses untuk memenangi hati Suhaib yang telah dipisahkan dariku 7 tahun yang lalu.Suhaib adalah teman baikku, semasa beliau berusia lapan tahun, sebelum aku ditahan dibawah ISA tahun 2002 dulu.
Selain itu, dengan jadual pertemuan dengan media alternatif yang diaturkan oleh isteriku, Laila, memaksa aku memerah otak dan tenaga untuk memberi jawapan terbaik pada semua wartawan yang sudi mewawancaraku.Hampir setiap hari ada saja wawancara untuk ku.Penat, letih dan agak stress.maklumlah, 7 tahun aku biasa dalam keadaan "rehat" tanpa sebarang program .Tiba-tiba, bila dikeluarkan dari Kem kamunting, aku dikejar wartawan....aku merasakan kehidupanku berubah 180 darjah dari biasa...Aku seronok sebenarnya dengan suasana baru ini, tetapi...perlukan banyak masa dan tenaga untuk sesuaikan diri dengan segalanya.
Bila celik saja mata, terlalu banyak perkara baru yang wajib ku pelajari.Dalam rumah dengan perkembangan maya terkini, dilura rumah pula aku masih pening dengan jalanraya bertingkat-tingkat dan jalan baru yang berselirat. Aku bersabar dengan semua itu.7 tahun aku diasingkan dari dunia luar yang serba canggih ini. Aku benar-benar dijadikan manusia yang "bodoh dan out of date".....Ahhh apakah dosaku diperlakukan demikian rupa?
Its ok...aku akan terus belajar....terutamanya untuk mengambil hati isteri dan anak tunggalku yng sudah besar panjang- Suhaib.

Sunday, September 27, 2009

Salam dari saya, Mat Sah Satray.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.

Saya juga ingin merakamkan Jutaan terima kasih saya kepada semua terutama sekali isteri saya,iaitu Norlaila dan GMI yang telah berusaha membebaskan saya dari sangkar Kamunting, Perak.
Saya masih belum terlepas dari akta ISA di mana pihak berkuasa masih banyak mengenakan pelbagai sekatan ke atas saya.

Sekadar itu dahulu.Izinkan saya berehat setelah menerima ramai tetamu sempena Hari Raya yang amat bererti kepada saya pada tahun ini.Terima kasih kepada semua teman-teman yang hadir ke rumah kami.Saya amat menghargainya.

Saya insya allah akan sambung berblog lagi.Saya akan menceritakan kepada semua detik-detik penahanan saya,di soal-siasat, di brainwash ,tempat tinggal sy di kamunting selama 7 tahun sehingga pembebasan saya yang baru lalu, insya allah.