Sunday, August 1, 2010

Pengalaman pertama menghadiri Vigil.


Pertama kali menyertai perhimpunan aman di hadapan Amcorp Mall PJ malam tadi sempena memperingati kezaliman akta zalim ISA ke 50 tahun anjuran GMI bersama NGO-NGO gabungannya serta seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kezaliman ISA. Mesej jelas ingin disampaikan ialah akta zalim ISA mesti dimansuhkan bukan dipinda.


Saya dan isteri keluar mengambil seorang adik di Sri Gombak yang sama-sama ingin menyertai perhimpunan aman itu. Selepas solat maghrib kami memecut terus ke PJ melalui lbhraya DUKE dan smpai ke lokasi 15 minit kemudian.Polis trafik telah menutup jalan masuk utama ke lokasi maka kami terpaksa letak kenderaan di kawasan perumahan berhampiran dan berjalan kaki ke tempat perhimpunan.


Sampai di kawasan parking Amcorp Mall kelihatan orang ramai memenuhi ruang depan, jeritan "mansuhkan ISA!!.." bersahutan. Dalam masa yang sama seorang peserta telah ditahan diikuti beberapa yang lain selang beberapa minit, anggaran lebih dari sepuluh orang. Saya berada bersama beberapa orang di luar bangunan sambil memerhati keadaan yang berlaku. Suasana sungguh asing bagi saya masa tu, mungkin juga ada rasa macam belum bersedia.


Isteri dan adik sudah masuk ke dalam bangunan sejak dari mula sampai lagi, yalah dah biasa berdemo, atau mungkin langkah saya lambat sikit malam tu sebab tu tertinggal.Ramai aktivis dapat saya kenal malam tu. Banyak kata-kata semangat saya terima.


"Masa abang kat dalam macam inilah kita punya kerja, sudah bebas pun kerja serupa jugak sampai ini ISA hilang."kata salah seorang daripada mereka.


Semasa dalam tahanan berita tentang perhimpunan rakyat bagi melahirkan kebencian terhadap akta zalim ISA hampir tiada kerana berita yang disogok oleh pihak kem hanyalah berita yang bersumber dari media pro kerajaan. Hanya akhbar Utusan dan NST sahaja disediakan dan berita tentang perhimpunan rakyat sebegini tentunya tidak pernah dilaporkan dan kalau ada pun ianya sudah diselewengkan.


Bagi tahanan yang ditempatkan di dorm ada disediakan TV untuk mengikuti berita,namun beritanya juga jauh dari fakta sebenar tentang perhimpunan rakyat begini.


Sumber berita lebih terhad lagi bagi tahanan yang diletakkan di tempat confinement(seorang diri di sel) kerana tidak disediakan TV, akhbar diberi terlalu lewat menjelang petang dan apabila pintu sel ditutup tidak dapat membaca lagi kerana keadaan sel yang gelap kerana di dalamnya tiada lampu. Waktu malam lebih gelap lagi, selepas Isyak tiada aktiviti pilihan kecuali tidur, bangun seawal 3.00 pagi solat malam hingga subuh.Di sel bersendirian(self confinement) itulah usia saya dibazirkan selama tiga tahun, sebelum saya dibebaskan .


Selain berita-berita negatif dari media kerajaan, pegawai penjara yang bertugas mengawasi kami juga main peranan meyebarkan berita palsu seolah-olah setiap perhimpunan yang dirancang tidak berlaku atau gagal mendapat sambutan orang ramai. Tujuannya untuk melemahkan semangat OT. Berita-berita yang benar tentang perhimpunan rakyat hanya dapat diketahui bila keluarga datang melawat itupun dalam keadaan yang tidak selesa, berbual melalui intercom dan perbualan juga didengar oleh pihak ketiga (pegawai penjara). Perjumpaan dibatasi dinding cermin telus yang hanya boleh melihat tetapi tidak boleh bersentuhan atau bersalaman dengan anak isteri.


Perjumpaan dengan lawyer lebih selesa kerana boleh berbual secara bersemuka malah boleh pula bersalaman dan pegawai penjara pula hanya dibolehkan memantau dari jauh tanpa dibenarkan untuk mendengar perbualan antara OT dan lawyer.
Bersambung InsyaAllah.



















No comments: