Tuesday, August 17, 2010

'RAMADHAN LAMA...BARU'

Alhamdulillah, tahun ini dapat menikmati awal Ramadhan bersama keluarga setelah lapan tahun dinafikan oleh akta zalim ISA. Tahun lepas saya 'dibebaskan' (dikeluarkan) dari Kem Tahanan Kemunting lima hari terakhir Ramadhan secara tiba-tiba tanpa diberitahu hatta keluarga saya pun tak diberitahu.

Saya dihantar ke rumah oleh pihak polis (SB) menjelang waktu berbuka dalam keadaan pintu rumah berkunci dan saya tidak tahu di mana anak dan isteri saya berada ketika itu. Saya terus menelepon isteri saya dan memaklumkan yang saya sudah 'dibebaskan' dan sudah pun berada di depan pintu rumah. Setelah beberapa kali minta pengesahan kerana tidak berapa yakin dengan berita pembebasan saya barulah isteri saya melanjutkan bicara mengatakan bahawa dia bersama anak saya berada di Sabah kerana menyertai wakil-wakil harakah dalam program bersama keluarga-keluarga tahanan ISA di sana dan juga kesal kerana pihak polis langsung tidak memaklumkan tentang pembebasan saya kepadanya. Mujur rumah bapa saya tidak berjauhan dan masih di dalam lingkungan kawasan sekatan tahanan yg disyaratkan saya pun ke sana untuk berbuka dan bermalam di situ sementara menuggu isteri dan anak pulang esoknya.

'Ramadhan baru' terasa asing, mungkinkah kerana 'Ramadhan lama' sudah menjiwai?

Lapan kali Ramadhan saya tempuhi sepanjang saya di tahan di bawah akta zalim ISA. Tiada persiapan perlu dibuat setiap kali Ramadhan tiba kecuali menyedari bahawa puasa adalah wajib dilaksanakan sepanjang bulan itu, segala amal dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah beserta ampunanNya dan adanya malam lailatulqadr untuk diraih kemudian setelah penghujungnya ada hari raya.

Hari-hari seperti sama saja sepanjang tahun cuma yang lainnya ialah waktu disediakan makan dan waktu untuk makan. Di bulan Ramadhan ration tghari diganti untuk sahur dan ration petang/mlm seperti biasa untuk berbuka, sementara makanan yang disediakan tetap menu yang sama digilirkan setiap hari bagi setiap minggu serupa dengan hari-hari biasa.Tiada menu istimewa disediakan untuk ration Ramadhan kecuali tambahan tiga biji kurma pada menu berbuka, itu pun kadang-kadang ada kadang-kadang tak ada. Kueh-mueh...emm... jauh sekali.

Ration sahur biasanya tiba jam 1.00 am disediakan di dalam tray bagi setiap OT (org tahanan) . Waktu untuk makan terserah kepada OT sendiri. Jika makan akhir malam nasi dan lauk sudah sejuk dan kuranglah seleranya dan silap haribulan makanan dah jadi basi. Bila makan awal pula terasa awal sangat sambil menahan ngantuk sekali. Ketika makan terpaksa buat rasa macam sedap sebab kalau ikutkan deria rasa lidah yg ori memang tak boleh telan. Masakan tak cukup perencah, masak tomyam rasa kari, masak kari rasa asam pedas...

Ration untuk buka puasa sampai ke blok jam 5.30 pm, menjelang waktu berbuka masing-masing sudah sedia dengan tray dan sekole air minuman yang dibancuh sendiri. Cerek elektrik ada di sediakan. Bahan-bahan minuman ada disediakan berupa serbuk teh, kopi, gula dan susu tepung dgn jatah kira-kira satu sudu untuk satu hari dibekalkan tiap bulan dan biasanya tidak pernah cukup untuk tempuh sebulan. Hari-hari selebihnya terpaksa minum air kosong.

Tanda masuk waktu berbuka ialah bila siren dibunyikan, siren perang itu boleh menjangkau seluruh kawasan Kemta (kem tahanan) termasuk kawasan banduan sekali. Seperti biasa lidah dan otak perlu di align supaya hanya menerima rasa sedap saja sebelum apa-apa makanan dimasukkan ke mulut. Pertama diperiksa adalah kurma, bila tiga biji kurma ada disediakan pada hari itu, sebelum dimasukkan ke mulut kurma itu perlu diketuk-ketuk dulu ditepi tray kerana kurma yang disediakan adalah dari kelas yang ada bubuk, dengan lafaz Bismillah dan Doa dua biji dimakan satu lagi simpan untuk ketika hari tidak disediakan kurma, demi memenuhi sunnah.

Makan waktu berbuka rasa lebih 'sedap' kerana dibantu rasa lapar berpuasa. Suasana ketika ditempatkan di domitri agak ceria juga waktu berbukanya kerana dapat makan sambil berbual barsama teman-teman se Blok. Namun keceriaan hanya untuk beberapa ketika saja, setelah beberapa suapan biasanya kami akan terdiam tak bersuara, disamping sibuk berusaha 'menyedapkan' santapan fikiran terbang jauh mengingat anak isteri di rumah dengan soalan lazim bermain di fikiran, "Anak isteri aku berbuka apa kat rumah?". "Ada makan atau tidak mereka?".

"Hei...! anak bini aku makan apa agaknya ya?" tiba-tiba salah seorang dari kami memecah lamunan.
Tersentap saya dibuatnya, terasa macam semua orang dah tahu apa yang saya angankan.
"Bila agaknya dapat berbuka bersama mareka ya?" sambung teman lain.
"Yaalah...! Aku pun fikir samalah." sambut teman-teman lain serentak.
Rupa-rupanya saya dan teman setahanan melamunkan hal yang samaaa...
Sejak itu soalan-soalan lazim itu bukan lagi lamunan malah jadi penghibur hati kami.

Suasana puasa di dalam sel confinement lain pula ceritanya...

Pada 'Ramadhan Baru' segala makanan rasa sedap tak ada yang tak sedap. Risau juga saya kalau-kalau lidah dan otak dah tak kenal yang tak sedap. Rasa tak sedap pun sebenarnya nikmat, baru terasa bila nikmat itu sudah menjauhi kita.







2 comments:

armouris said...

info tentang puasa Ramadhan di SIHAT SELALU - Puasa Baik Untuk Kesihatan

joe penang said...

Ramai yg ingin syahid. Tak ramai Allah memilihnya.
Penjara menjadi peluang terbaik merapatkan diri kepada pencipta.
Setiap manusia sentiasa akan diuji. Diampun dosa/dinaikkan darjat.
Satu je harapan kita,. Janganlah kita diuji dengan ujian yg x termampu. Na'uzubillah

p/s; Minta izin copy artikel ni dalam blog ana. Syukran