Sunday, August 22, 2010

SAHUR SENDIRI, BERBUKA SENDIRI, SOLAT SENDIRI

Confinement Blok adalah tempat di mana OT (orang tahanan) di asingkan daripada OT-OT yang lain kerana dianggap boleh membawa masalah kepada pihak Kemta (Kem Tahanan) atau atas arahan pihak 'ATAS' .

Saya sempat menikmati tiga kali Ramadhan (2006) (2007) (2008) di sel pengasingan ini. Dikunci sendirian di dalam sel yang tidak ada lampu didalamnya seawal jam 6.00 ptg hingga di buka semula jam 7.00 pg keesokkan hari. Sepanjang tempuh inilah saya bersahur sendirian, berbuka sendirian dan solat juga sendirian.

Apa yang dimakan dan diminum buat sahur dan berbuka ditempat ini sudah tidak berapa kesah lagi yang penting asal ada saja. Makanan disediakan sama tak sedapnya seperti OT lain cuma keadaan ketika menikmatinya yang lebih tak selesa menambah ketidaksedapan makanan yang disediakan.

Tiada kerusi meja seperti di Blok Domitri. Di sel ini makan terpaksa duduk atas lantai simen dan mesti mengadap pintu jeriji besi yang berkunci. Bukan kerana arahan pihak Kem, ini kerana di ruang itulah cahaya lampu dari koridor masuk ke dalam sel. Walaupun cahayanya samar cukup buat mengasingkan bubuk-bubuk dari kurma dan memisahkan tulang jeket ikan cencaru sebelum di suap ke mulut. Pernah tulang jeket tersekat di tekak waktu sahur, Alhamdulillah lepas jolok dengan jari tulang itu dapat di muntahkan. Panik juga sekejap. Ketika itulah teringatkan sedapnya masakan isteri dan ikan jeket patutlah tak pernah ada dalam menu masakannya.

Waktu bersendirian yang panjang di dalam sel banyak saya habiskan dengan mengkhatam dan menghafaz Al Quran lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan malah banyak daripada hafazan dan khatam berhasil ketika berpuasa Ramadhan. Tiga hari sekali khatam sudah biasa selama di dalam sel confinement ini.

Cerek elektrik disediakan di satu ruang berhampiran tempat warden (Penjaga) yang menjaga dan sentiasa memantau. Sebuah termos dan sebuah jug perlu diisi dengan air panas dan dibawa masuk ke dalam sel sebelum pintu sel dikunci kerana setelah pintu sel di kunci tidak boleh dibuka semula sebab anak kunci akan diserahkan ke pegawai di pejabat kawalan dan hanya boleh dibuka dengan alasan kecemasan dan itupun dengan prosedur yang ketat. Difahamkan bilik sel tidak boleh dibuka waktu malam.

Sairen berbunyi menandakan waktu berbuka, duduk di lantai bersama tray mengadap pintu jeriji, mulakan dengan ketuk- ketuk buah kurma untuk buang bubuk, selesai dua biji teguk air teh bancuh sendiri, kemudian ambil wuduk terus solat maghrib. Seusai solat duduk semula di depan geriji, makan nasi dalam tray yang disediakan. Seperti biasa kena buat rasa macam sedaplah. Ketika makan hati dan fikiran melayang jauh, fikir keluarga, mak bapak, sekolah anak dan macam-macam... penutupnya bila akan dibebaskan ya...?

Lepas makan tunggu waktu solat Isyak. Sayup-sayup suara azan dari masjid atau surau berdekatan boleh didengari. Selesai solat Isyak dan Ba'da Isyak terus mulakan solat malam Ramadhan (tarawih). Semua solat saya kerjakan sendiri tidak seperti di domitri boleh solat berjamaah dengan teman-teman se Blok. Bacaan dalam solat ikut kekuatan hafalan yang sudah saya lancarkan di siang hari dan hal ini dapat membantu dalam memantapkan hafalan. Selesai kira-kira jam 10.00 mlm dan terus tidur kerana keadaan yang gelap tidak memungkinkan untuk aktiviti lain termasuk membaca.

Bangun kira-kira jam 4.00 pg, ambil wuduk dan sambung solat malam kemudian makan sahur. Tray sampai ke blok jam 1.00 pg lagi dan perlu panggil warden yang menjaga malam untuk hantarkan ke sel. Tray dihulur ke dalam sel melalui lubang di pintu yang ditebuk sebesar saiz tray.

Di spot yang sama seperti berbuka, sahur juga dinikmati sendirian dan fikiran pun lebih jauh terbangnya kerana keadaan yang sunyi. Bebas nanti nak buat apa, bekerja, berniaga...emm penutup yang sama... 'bila akan dibebaskan ya...?'

Sayup-sayup suara azan menandakan masuk waktu subuh. Saya laungkan azan sendiri di dalam sel, solat sunat fajar dan solat subuh, tak berapa lama kemudian keadaan dalam sel semakin mencerah menandakan siang, kedengaran pintu besar Blok dibuka, seterusnya pintu sel menandakan penyiksaan semalaman berakhir buat seketika.

Setiap kali pintu sel dibuka saya rasakan kelegaan yang amat sangat pertama kali saya lakukan sebaik pintu dibuka ialah meluru keluar dari blok menuju ke kawasan terbuka yang agak sempit juga, tetapi cukup untuk melepaskan kesesakan dalam jiwa dan fikiran. Sambil melihat ke langit, "Alhamdulillah, aku masih dapat melihat langit cerah yang luas walaupun sekian lama tidak melihat ketika ia gelap bersama bintang menghiasinya." bicara hatiku.

Selama pintu sel dibuka saya manfaatkan dengan melakukan tilawah dan mengulang hafazan. Tempat yang paling selesa yang ada bagi aktiviti ini ialah di tepi longkang sepanjang koridor bangunan Blok.

Jam 11.00 pg pintu sel dikunci lagi, saya kembali dikurung sendirian sehingga dibuka semula jam 2.30 ptg. Sepanjang tengahari jika cuaca baik keadaan dalam sel agak cerah dan boleh melakukan aktivi membaca. Biasanya waktu ini saya isi dengan membaca surat khabar, satu-satunya sumber bagi mengetahui perkembangan yang berlaku di luar. Namun berita yang disogok kepada orang tahanan adalah berita pro kerajaan saja. Akhbar yang disediakan adalah utusan Malaysia dan NST sahaja. Waktu selebihnya buat hafazan dan tidur hingga masuk waktu Zuhur. Setelah solat Zuhur , tilawah hingga pintu dibuka.

Sebaik pintu dibuka aktiviti pagi diulangi dan berhenti jam 5.00 ptg. Penyediaan keperluan sebelum pintu sel ditutup bermula. Masak air, masukkan ke dalam termos dan jug kemudian bawa masuk ke dalam sel bersama dengan tray untuk berbuka yang sampai sebelumnya.

Jam 6.00 ptg pintu sel di kunci dan kembalilah rutin penghidupan di sel Blok confinement. 'ila ajalin musamma' (hingga waktu yang ditentukan). Rutin ini tidak banyak bezanya dengan bulan-bulan selain Ramadhan.















1 comment:

armouris said...

info tentang puasa Ramadhan di SIHAT SELALU - Puasa Baik Untuk Kesihatan