Perkataan ISA bukanlah asing bagi rakyat Malaysia malah jika sebutan ISA menjangkau pendengaran reaksi spontan terhadapnya adalah seperti seseorang yang sedang terserempak dengan ular besar yang sedia untuk membaham dirinya. Kecut, takut, gerun dan macam-macam lagi kata yang menyeramkan hingga mulut terkunci dari kata-kata membantah kecuali mengiakan sambil kepala tunduk ke tanah. Kefahaman yang mantap dalam diri setiap rakyat (kecuali yang faham secara benar) tentang ISA hanyalah
bila siapa saja menentang kerajaan akan ditangkap dan ditahan di Kemunting selama dua tahun.
Keadaan ini berlaku kerana doktrin yang dilakukan oleh pemerintah yang berkuasa sekian lama melalui media yang dikuasai sepenuhnya, meyebarkan ketakutan rakyat terhadap ISA serta sentiasa mengingatkan rakyat tentang kekuasaan mutlak yang dimiliki oleh pemerintah melalui ISA untuk menangkap dan menahan siapa saja yang menentang kerajaan tanpa dibicarakan.
Alasan yang sering diberikan setelah tangkapan dibuat adalah "mengancam keselamatan negara" dengan disertai dengan label-label yang dicipta antaranya, "refomasi", "pemalsuan dokumen", "men su", "KMM"," JI" dan sebagainya demi mewajarkan penangkapan dan penahanan seseorang. Sementara orang yang ditahan tidak ada ruang dan peluang untuk mempertahankan diri daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.
Pada asasnya akta ISA adalah "TAHAN TANPA BICARA" dan hakikatmya adalah demi untuk mempertahankan kuasa memerintah, pemerintah akan menggunakan akta ISA untuk menangkap dan menahan sesiapa saja untuk dijadikan kambing hitam dalam apa saja isu dengan alasan yang direka dan ditokok- tambah supaya penahanan nampak wajar dan orang yang ditahan pula tidak boleh membantah kecuali menerimanya dengan terpaksa.
Keadaan ini benar-benar berlaku ke atas diri saya. Saya ditahan pada mulanya dengan tuduhan sebagai anggota KMM (kumpulan militan Malaysia) kemudian setelah 58 hari dalam tahanan polis saya dibawa ke Kem Tahanan Kemunting untuk ditahan selama dua tahun dengan tuduhan sebagai anggota JI (Jemaah Islamiyyah). Tuduhan boleh berubah manurut kahendak pemerintah tanpa dapat dibantah oleh orang yang ditahan.
Setelah dua tahun berakhir, alasan lain pula direka. Saya telah dibawa keluar dari Kemunting ke KL seminggu sebelum tempuh perintah tahanan berakhir dengan alasan yang tidak diberitahu namun saya ketika itu sangat-sangat berharap dan yakin akan dibebaskan. Saya telah dibawa bertemu dengan seorang pegawai tinggi dari Bukit Aman dan diberi taklimat ringkas tentang keselamatan negara terutama ancaman pengganas. Taklimat yang diberikan agak tersusun dan menggambarkan seolah-olah saya terlibat di dalamnya.
"Mat Sah keadaan dan waktu tidak mengizinkan kami untuk membebaskan awak buat masa ini. Kami pihak keselamatan buat masa ini sedang mengikat kerjasama yang erat dengan negara serantau untuk menangani masalah teroris jadi sekiranya awak kami bebaskan tentu negara kita akan mendapat kecaman dan akan menjejaskan hubungan antara negara terutama Amerika. Mungkin mereka akan berkata, "Malaysia mahu menangani teroris tetapi dalam masa yang sama juga membebaskan teroris," saya harap awak dapat memahami keadaan ini."kata pegawai dari Bukit Aman itu."
Keesokan hari saya di suakan dengan surat perintah lanjutan tahanan untuk dua tahun lagi. Petang hari yang sama saya di bawa kembali ke Kem Tahanan Kemunting.
Alasan setelah dua tahun...
"NANTI APA KATA NEGARA SAHABAT TERUTAMA AMERIKA"
Aduuuh... dua tahun lagiii...!!!???
Sepanjang dua tahun kedua ini isteri saya mula melibatkan diri dengan NGO hak asasi manusia terutama Gerakan Mansuhkan ISA dan mendapat sokongan kuat dari parti-parti politik selain parti yang memerintah, serta sokongan dari orang ramai yang simpati terhadap mangsa ISA dan prihatin terhadap akta ISA yang zalim.
Sejauhmana penglibatan isteri saya beserta aktivitinya bersama NGO tidak banyak yang saya dapatkan kerana di dalam Kem Tahanan berita merupakan suatu yang amat sensitif dan dikawal rapi oleh pihak Kem. Semua bahan-bahan bacaan dari luar/keluarga ditapis (dibaca isi kandungannya) sebelum dibenarkan untuk dibawa masuk. Sementara semasa perjumpaan keluarga pula tidak selamat untuk dibualkan tentang aktiviti berkait dengan mansuhkan ISA kerana percakapan melalui intercom di dengar dan di rakam oleh pihak Kem.
Sepanjang tempuh dua tahun kedua ini pihak polis dari Bukit Aman yang datang ke Kem setiap enam bulan sekali sering berbicara berkenaan insaf iatu sifat yang perlu ada pada orang tahanan yang boleh dibebaskan. Insaf menurut mereka adalah menerima apa sahaja yang dituduhkan dan tidak mempertikaikan ISA.
Mereka juga melahirkan kemarahan mereka terhadap GMI (Gerakan Mansuhkan Isa) dan keterlibatan isteri saya dalam GMI serta kesusahan yang mereka hadapi dalam menagani isu-isu yang didedahkan oleh GMI terutama laporan buruk polis melalui media. Secara terang mereka mengatakan bahawa kegiatan isteri saya bersama GMI yang selalu menyusahkan mereka akan menyebabkan saya di tahan lebih lama dan meminta saya supaya menyuruh isteri berhenti dari bekerjasama dengan GMI.
Tahanan-tahanan lain yang langsung tiada kaitan dengan GMI juga diberi amaran yang sama malah isteri-isteri mereka juga diperingatkan supaya jangan berikan kerjasama kepada GMI jika mahu suami dibebaskan.
Memasuki tahun ke empat pihak Kem mula memberikan tekanan ke atas saya dengan harapan agar saya merima pernyataan insaf sebagaimana yang dikehendaki mereka. Saya dipindahkan ke Blok Confinemant, diasingkan dari tahanan yang lain, dkunci sendirian di sel yang kecil tiada lampu di dalamnya. Perjumpaan keluarga juga dipersulit dengan tempuh masa hanya 45 minit, dibatasi cermin telus, perbualan melalui intercom dan diawasi sepanjang masa.
Penghujung dua tahun kedua yang menjadikan tempuh empat tahun ditahan di Kem Kemunting, saya dipanggil bertemu dengan pengarah Kem Tahanan dan diberitahu bahawa berdasarkan laporan dari Bukit Aman saya didapati masih belum insaf dan perlu dilanjutkan perintah tahanan dua tahun lagi.
Tahanan lain juga dilanjutkan perintah tahanan walaupun tidak melibatkan diri dengan GMI.
Alasan setelah empat tahun..."BELUM INSAF kerana ISTERI AKTIF BERSAMA GMI"
Dua tahun lagiii...!!!???
Dua tahun menuju ke enam tahun, peraturan yang dikenakan oleh pihak Kem lebih diperketat.Pasukan keselamatan Kem sering melakukan pemeriksaan mengejut ke dalam sel disertai dengan provokasi, merampas buku tulisan, dairi malah kertas kosong pun dirampas. Tujuannya adalah untuk menghalang penyaluran maklumat keluar dan juga untuk membangkitkan kemarahan saya dan seterusnya mezahirkan tindakan menentang yang boleh dijadikan alasan oleh pihak Kem untuk menunjukkan bahawa saya belum insaf seperti mereka kehendaki dan lanjutan perintah tahanan ke atas saya menjadi wajar.
Menghampiri tempuh enam tahun alasan baru pula mucul iaitu isu "WAHABI". Saya termasuk yang dituduh wahabi. Saya telah dibawa ke KL untuk mendengar ceramah tentang bahaya fahaman wahabi yang dianggap boleh mengancam keselamatan negara yang disampaikan oleh ustaz Zamihan (ILIM) dan beberapa pegawai tinggi PDRM. Dr Asri (bekas mufti Perlis) juga ada disebut sebagai salah seorang tokoh "wahabi."
Masih bertahan dengan fahaman saya yang dianggap wahabi oleh mereka maka saya dilanjutkan perintah tahanan untuk dua tahun lagi.
Alasan setelah enam tahun..."WAHABI"
Dua tahun lagiii...!!!???
Masuk tahun ketujuh isteri saya semakin aktif dalam aktiviti GMI malah telah membawa isu ISA ke persidangan hak asasi manusia sedunia di Geneva. Demonstrasi besar-besaran di KL bagi mandesak supaya ISA dimansuhkan menambah tekanan pada pihak kerajaan terhadap penggunaan akta ISA dan juga tekanan bagi membebaskan orang tahanan.
. Pada 15 Sept 2009 saya dibebaskan, setelah berada di Kem Tahanan Kemunting selama 7 tahun 3 bulan dan perlu menyempurnakan baki perintah tahanan selama 9 bulan lagi dengan bersyarat bagi melengkapkan perintah tahanan selama 8 tahun keseluruhan.
12 JUN 2010 lalu saya dibebaskan sepenuhnya. Alhamdulillah...
Demikianlah perubahan-perubahan tuduhan dan alasan yang dikenakan ke atas saya selama lapan tahun di bawah ISA. Melalui ISA juga apa saja alasan boleh direka dan dipikulkan ke atas orang yang ditahan bagi mewajarkan penahanan di bawah ISA. Hanya satu alasan perkara begini boleh berlaku iaitu PENAHANAN TANPA BICARA.
Seluruh rakyat harus memahami dan mengerti dengan pengertian yang benar tentang ISA bahawa akta ISA adalah zalim, siapa saja dan bila-bila saja boleh di tahan di bawah ISA dengan alasan yang direka dan ditokok- tambah bagi mewajarkan penahanan kemudian tiada peluang untuk membantah segala tuduhan yang dilemparkan kecuali menelannya dengan terpaksa.
Selagi "Tahan Tanpa Bicara" menjadi asas kepada penahanan seseorang maka ancaman dan kezaliman terhadap rakyat pasti berlaku.
AKTA ZALIM ISA WAJIB DIMANSUHKAN !!!